Bittersweet mahu ubati rindu peminat - Utusan Malaysia

Bittersweet mahu ubati rindu peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI terakhir band indie Bittersweet tampil dengan album penuh adalah pada 2016 de­ngan tajuk BTSWT.

Namun, kehadiran band yang dibentuk pada 2006 ini semakin dirindui ramai peminat lagu-lagu genre brit rock.

Justeru, band yang dianggotai empat anak muda itu kini giat beraksi di pentas setelah berehat hampir setahun.

Walaupun tanpa album, Bittersweet mahu muncul dengan nafas baharu dan sedang dalam perancangan untuk melangkah ke studio bagi merakam single terbaharu.

Perkembangan terbaharu me­reka akan diumumkan di laman sosial Facebook tidak lama lagi.

Ditanya mengapa mengambil masa yang panjang untuk berehat daripada merakam album baharu, vokalis Bittersweet, Hafizan Razali berkata, mereka mahu memastikan dapat menghasilkan lagu yang benar-benar berkualiti untuk peminat.

“Tempoh masa yang panjang ini adalah untuk memastikan kualiti lagu dan album yang kami hasilkan nanti betul-betul mengikut kualiti yang kami mahukan,” katanya.

Ditambah pula dengan persaingan sengit di dalam industri muzik tanah air pada hari ini, Bittersweet perlu mengatur strategi tepat bagi memastikan peminat mereka tidak jemu de­ngan karya yang disajikan.

Walaupun begitu, Bittersweet yakin mereka mampu pergi lebih jauh di dalam industri muzik sekarang.

“Keadaan kini lebih mudah kalau hendak dibandingkan dengan zaman Bittersweet mula bertapak dahulu.

“Sekarang sudah ada Facebook dan Instagram untuk promosi lagu dan band ini, cuma hendak buat dengan tidak sahaja,” katanya.

Awal kemunculan Bittersweet, mereka menghasilkan album pertama, Perfect Match dan dipasarkan pada 2006.

Album sulung tersebut mendapat sambutan luar biasa berikutan peningkatan minat anak muda terhadap genre brit rock pada ketika itu.

Lima tahun kemudian, Bittersweet tampil dengan album kedua berjudul Empire’s Transition pada Mei 2011.

Tempoh masa yang lama diambil bagi memberi kesempatan kepada Bittersweet untuk melahirkan lagu yang sedikit berbeza dari segi susunan muzik berentak lebih perlahan walaupun masih mengekalkan genre yang sama.

Muzik Bittersweet kemudian diterima baik di beberapa negara jiran termasuk Indonesia dan Singapura.

Bittersweet dianggotai empat anak muda iaitu Hafizan Razali (vokalis), Herri Hamid (gitar), Munzir Azmi (gitar) dan Fadhilul Iqmal (keyboard).

Banyak menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris, Bittersweet bagaimanapun pernah menampilkan lagu dalam bahasa Melayu menerusi album ketiga berjudul Lukisan dan Hilang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN