Biografi papar sisi peribadi selebriti - Utusan Malaysia

Biografi papar sisi peribadi selebriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA ruang legar di tingkat atas gedung buku Kinokuniya yang terletak di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pada pagi Jumaat minggu lalu senyap seketika.

Biarpun bunyi mesin daftar tunai dan ketikan lampu denyar jurugambar bertugas kedengaran silih berganti, namun, Datin Orked Ahmad yang diminta berucap sempena majlis pelancaran buku tribute kedua untuk kakaknya, Allahyarham Yasmin Ahmad, Yasmin I Lup Chew gagal untuk membutirkan kata-kata.

Barangkali, kotak fikiran Orked ligat berfikir, memutar kembali memori indah dan kenangan manis yang pernah tercipta antara dirinya dan juga sutradara yang cukup terkenal dengan filem Sepet itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terbalut emosi lama, Orked yang mengenakan baju kurung berwarna hijau polos pada waktu itu gagal menampung air matanya daripada tumpah, lantas menyebabkan atmosfera pada majlis tersebut terus dipayungi oleh rasa sayu.

Hiba hati Orked masih lagi berbekas, biarpun Yasmin telah pergi menghadap pencipta hampir satu dekad lamanya.

Legasi

“Biarpun sudah sembilan tahun Yasmin meninggalkan kita, saya masih lagi berduka cita dengan pemergiannya.

“Dia merupakan individu yang sangat baik dan berhati mulia. Disebabkan itu banyak kenangan yang masih kemas tersemat dalam diri saya sehingga bila-bila,” ujar Orked.

Mahu terus mengenang legasi dan karya-karya keramat yang ditinggalkan oleh darah dagingnya itu, Orked mengabadikan cebisan-cebisan kisah Yasmin Ahmad menurut sudut pandang kenalan pengarah berkenaan menerusi Yasmin I Lup Chew.

“Sama seperti buku pertama, Yasmin, How You Know?, buku kedua mengandungi cerita-cerita tentang Yasmin yang dikongsikan oleh rakan-rakan baiknya.

“Saya memang mahu legasi kakak saya diteruskan, terutama dalam bidang perfileman. Biar generasi muda tahu tentang karya-karya dan hasil kerja Yasmin selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Orked juga mahu sifat positif yang ada pada Yasmin terus disebarkan kepada golongan muda.

“Filosofi Yasmin tentang kehidupan begitu besar, terutama apabila dia sering menekankan kepentingan solat dan nilai-nilai murni terhadap ibu bapa serta masyarakat.

“Inilah apresiasi yang cuba saya berikan kepadanya. Dia tidak mempunyai anak. Jadi, dengan penerbitan buku seperti ini, akan ada orang yang mengenangnya dalam doa dan menyedekahkan al-Fatihah,” katanya lagi.

Bercakap mengenai buku Yasmin I Lup Chew, Orked berkata, selain cerita-cerita sahabat handai, ia turut mengandungi jurnal, nota kembara, serta sajak yang pernah ditulis suatu ketika dahulu.

“Sesiapa yang mengenali Yasmin pasti tahu tentang tulisannya yang disimpan dalam sebuah kotak kasut.

“Justeru, untuk memperingati Yasmin, kami turut menerbitkan 200 unit Yasmin I Lup Chew yang dibungkus dalam sebuah kotak kasut, lengkap bersama replika nota-nota tulisannya dan album gambar,” kongsi Orked sambil mengucapkan terima kasih kepada agensi pengiklanan tempat Yasmin bekerja dahulu, Leo Burnett yang turut mengusahakan buku tersebut bersamanya.

Dijual pada harga RM49.90 seunit manakala RM299 untuk edisi terhad kotak kasut, keseluruhan keuntungan bagi jualan buku berkenaan akan didermakan kepada Persatuan Yasmin Ahmad bagi membantu persatuan tersebut menguruskan muzium Yasmin At Kong Heng dan beberapa majlis tayangan amal pada masa akan datang.

Versi asal

Bercakap mengenai keperluan seseorang artis untuk memiliki sebuah biografi, Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, keperluan tersebut bergantung kepada tahap kesenimanan seseorang anak seni sepanjang berkarier.

Beliau menjelaskan, masyarakat terutama peminat dapat mempelajari sisi berbeza seseorang selebriti menerusi penulisan berbentuk biografi.

“Disebabkan itu, saya berpendapat, penulisan biografi tidak semestinya dilakukan selepas anak seni atau seseorang tokoh itu meninggal dunia.

“Bukan apa, apabila sesebuah biografi diterbitkan ketika seseorang artis itu masih hidup, cerita yang disampaikan adalah versi asal yang keluar daripada mulutnya sendiri.

“Jadi, ia kedengaran lebih segar dan asli tanpa sebarang tokok tambah,” katanya yang turut menggalas tanggungjawab menulis biografi pelakon Rita Rudaini berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan.

Dalam masa sama, Khalidah memberitahu, seseorang artis boleh mempunyai lebih daripada satu biografi, asalkan ia ditulis daripada sudut pandang yang berbeza.

“Sebagai contoh, saya menulis untuk Rita mengikut luahan hatinya semata-mata.

“Jika Rita mahu menerbitkan buku kedua, ia mungkin boleh ditulis berdasarkan perspektif anaknya atau rakan-rakan yang pernah bekerja dengannya,” ujarnya.

Melihat karya berbentuk biografi sebagai sebuah karya ilmiah, Khalidah memberitahu, ia mungkin boleh dijadikan sebagai teks pendidikan untuk kegunaan pelajar di sekolah.

“Jika sesebuah naskhah biografi itu ada kena mengena dengan sejarah negara, ia sedikit sebanyak dapat dijadikan rujukan berguna mengikut sudut pandang tokoh seni berkenaan,” katanya lagi.

Inspirasi

Jika kebanyakan anak seni melantik penulis bertauliah untuk menulis biografi masing-masing, namun, bagi penyanyi Siti Nordiana, dia lebih selesa untuk menggarap biografinya sendiri.

“Sejujurnya, saya berbuat demikian kerana ingin berasa lebih dekat dengan peminat, terutama apabila bercerita tentang kisah-kisah sedih yang pernah saya lalui.

“Apabila saya menulis sendiri, impak yang diterima oleh pembaca juga lebih besar,” katanya.

Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, buku yang diberi judul Life Goes On itu diterbitkan bukan untuk mengenang kejayaannya sebagai penyanyi semata-mata.

Sebaliknya, ia dipasarkan untuk memberi motivasi kepada peminat supaya tidak mudah berputus asa dengan sebarang ujian yang diberikan.

“Ramai yang tidak tahu, saya bermula dengan agak sukar suatu ketika dahulu. Pernah terdetik di hati untuk berhenti menyanyi dan bekerja biasa.

“Namun, disebabkan percaya pada rezeki, Alhamdulillah, saya masih di sini. Jadi, saya mahu kisah saya ini menjadi inspirasi buat mereka yang tidak percaya pada kekuatan diri,” katanya lagi.

Masih menduduki tangga pertama di toko buku MPH sejak ia dilancarkan 8 September lalu, Nana berkata, beliau terbuka jika ada produser yang berminat untuk mengadaptasi kisah perjalanan hidupnya ke layar lebar.

“Saya terbuka jika kisah hidup saya ini mahu difilemkan. Cuma, apa yang pasti, pelakon utamanya bukan saya,” ujar Nana sambil berseloroh.

Dalam perkembangan lain, Nana bakal kembali ke lokasi penggambaran pada 3 Oktober depan untuk sebuah drama bersiri yang masih belum berjudul.

“Sebelum itu, uji bakat Mentor 7 akan diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama pada 29 dan 30 September ini bermula daripada pukul 10 pagi sehingga 4 petang,” katanya menutup perbualan.

Penulisan biografi dianggap penting bagi memberi peluang kepada khalayak untuk menilai sisi peribadi seseorang tokoh seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini