KUALA LUMPUR – Big Loyalty Sdn. Bhd. yang juga pemilik dan pengendali program kesetiaan BIG Loyalty AirAsia, menyasarkan sumbangan segmen pertukaran mata ganjaran kad kredit kepada perolehan syarikat akan meningkat sebanyak 10 peratus menerusi pelancaran program baharu, Big Xchange.
Big Loyalty Sdn. Bhd. yang juga pemilik dan pengendali program kesetiaan BIG Loyalty AirAsia, menyasarkan sumbangan segmen pertukaran mata ganjaran kad kredit kepada perolehan syarikat akan meningkat sebanyak 10 peratus menerusi pelancaran program baharu, BIG Xchange.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sereen Teoh berkata susulan itu, perniagaan pertukaran mata kad kredit yang menyumbang 20 peratus kepada perolehan syarikat, dijangka meningkat kepada 30 peratus.
Menurutnya, Big Xchange juga merupakan platform pertukaran mata penerbangan yang pertama seumpamanya di dunia dan membolehkan ahli Big menghubungkan mata kad kredit kepada mata BIG secara pantas dan lancar.
“Mulai 25 September ini, ahli Big boleh menggunakan akaun mata kesetiaan mereka dengan rakan kerjasama (gaya hidup dan kewangan) yang terlibat menerusi Big Xchange yang hanya boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih AirAsia Big Loyalty.
“Program ini akan memudahkan ahli menukar mata dikumpul kepada Mata Ganjaran Big menerusi satu platform,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Big Xchange di sini hari ini.
Menurut Sereen, Citi Malaysia merupakan rakan kerjasama pertama program itu dan berhasrat untuk mengembangkan usaha itu kepada Citi Thailand selain rakan kewangan gaya hidup pada masa depan.
“Pemegang kad kredit Citi kini dapat menukar mata ganjaran Citi Rewards mereka atau PremierMiles kepada Big Points secara serta-merta dan menikmati kemudahan jualan akhir eksklusif bulanan untuk ahli dengan potongan tambang penerbangan sehingga 90 peratus.
“Bagi memulakan pelancaran Big Xchange ini, para pemegang kad kredit Citi yang menukar mata ganjaran Citi atau PremierMiles kepada Big Points dalam Big Xchange, akan turut meraih bonus 50 peratus BIG Points bagi tempoh mulai 25 Sept hingga 15 Okt dan bonus seterusnya sebanyak 30 peratus sehingga akhir tahun,” katanya. – Bernama










