PERMATANG PAUH 19 Sept. – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya menyifatkan berita yang mengaitkan namanya sebagai salah seorang pemimpin UMNO yang dikatakan bakal keluar parti adalah satu konspirasi jahat untuk memecah-belahkan parti itu.
Menurutnya, beliau tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian malah berikrar akan terus bersama dalam perjuangan membela UMNO sehingga ke penghujungnya.
“Ini adalah satu fitnah yang dicipta oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Saya terkejut apabila menerima panggilan bertalu-talu bertanyakan hal ini dan pastinya saya akan menafikan berita tak benar itu.
“Pastinya tiada perbincangan langsung berkaitan hal ini malah saya sendiri tak terlibat sekiranya ada pemimpin lain ingin meninggalkan UMNO seperti Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Mustapa dan Anifah mengumumkan keluar dari UMNO selepas mendakwa hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan perjuangan mereka. – UTUSAN ONLINE










