Beregu muda tekad tebus kecewa - Utusan Malaysia

Beregu muda tekad tebus kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGEMBARAAN beregu lelaki muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada kejohanan badminton Terbuka Korea akan bermula hari ini yang mana mereka akan menentang pasangan Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit di pusingan pertama.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik pernah bertemu gandingan negara jiran itu pada Terbuka Thailand Julai lalu, namun tuah tidak menyebelahi mereka apabila tewas.

Justeru, Aaron menegaskan, mereka perlu berada pada prestasi terbaik sekiranya mahu me­nebus kekalahan sebelum ini biarpun mengakui kedua-dua gandingan memiliki peluang seimbang untuk mara ke pusingan kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami pernah bertemu mereka sebelum ini tetapi nasib tidak menyebelahi kami apabila tewas kepada mereka. Apa yang pasti, kami perlu lebih bersedia dan mengamalkan corak menyerang jika mahu menewaskan mereka.

“Berdasarkan prestasi kedua-dua pasangan, saya lihat peluang sangat seimbang dan hanya aksi dalam gelanggang esok (hari ini) bakal menentukan siapa yang akan menang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Meskipun tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan tersebut, pemain berusia 21 tahun itu berharap mereka mampu untuk melangkah lebih jauh berbanding sasaran awal yang dile­takkan.

Dalam pada itu, Aaron me­ngakui kritikan yang dilemparkan daripada peminat sukan tempatan atas kemerosotan prestasi skuad badminton negara sedikit sebanyak turut membakar semangatnya untuk membuktikan sesuatu pada kejohanan di Korea itu.

“Kami tidak meletakkan sasaran tertentu pada kejohanan kali ini tetapi saya harap kami mampu melepasi halangan awal sebelum memikirkan mengenai aksi pada peringkat seterusnya.

“Saya tahu kebelakangan ini badminton negara sering dikritik kerana tiada pencapaian memuaskan tetapi kami ambil kritikan tersebut sebagai sesuatu yang positif. Selain itu, ia juga mampu menyuntik semangat kami untuk tampilkan aksi lebih baik,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini