PASANGAN beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan mereka masih berbisa selepas berjaya menjinakkan wakil Indonesia, Praveen Jordan-Melati Oktavianti untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Jepun semalam.
Pada aksi suku akhir itu, pasangan yang dikritik kerana mempamerkan aksi hambar pada Sukan Asia Indonesia 2018 itu dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Praveen-Melati dengan keputusan 21-19, 20-22, 21-17.
Pada set pertama, pasangan Indonesia yang menduduki ranking ke-23 dunia itu mendahului 12-10, tetapi Peng Soon-Liu Ying berjaya menunjukkan kebangkitan untuk menang 21-19.
Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur pada set kedua apabila tewas tipis 20-22 kepada beregu muda itu sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Enggan melakukan kesilapan sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir selepas menang set penentuan 21-17 dalam pertarungan yang memakan masa lebih satu jam.
Lebih manis, ini adalah kemenangan pertama buat Peng Soon-Liu Ying ke atas beregu Indonesia itu selepas tewas pada rekod dua pertemuan terdahulu.
Peng Soon-Liu Ying yang kini menduduki ranking ke-9 dunia dijadualkan bertemu pilihan utama dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong selepas mereka berjaya menundukkan rakan senegara, Zhang Nan-Li Yinhui 21-10, 21-13 semalam.











