Bekas jurutera Petronas, isteri didakwa rasuah RM312,100 - Utusan Malaysia

Bekas jurutera Petronas, isteri didakwa rasuah RM312,100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang bekas jurutera Petronas dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan menerima suapan dan bersubahat dalam aktiviti rasuah berjumlah RM312,100 bagi perlantikan sub kontraktor projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang, Sabah, pada 2015.

Kedua-dua tertuduh, Suryono Samdul, 58, yang merupakan penduduk tetap dan Lyana Abdullah, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan, Suryono yang ketika itu merupakan jurutera kualiti projek SAMUR telah menerima suapan berjumlah RM312,100 secara berperingkat daripada Syarikat LJ Inspection dan Services Sdn. Bhd. dan Syarikat Pioneer Engineering Sdn. Bhd sebagai sub kontraktor kepada syarikat Rekind (M) Sdn. Bhd bagi menjalankan kerja-kerja pengujian terhadap paip-paip yang dipasang di projek SAMUR di Sipitang, Sabah. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara, Lyana yang merupakan suri rumah sepenuh masa pula didakwa bersubahat atas 20 pertuduhan iaitu menggunakan akaunnya sebagai transaksi penyimpanan suapan rasuah. 

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh sejak 9 Jun 2015 hingga 26 September 2017 di sebuah bank cawangan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini. 

Kedua-dua mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 28 (1) (c) akta sama yang dibaca bersama seksyen 17(a) Akta SPRM. 

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Abu Hanifah kemudiannya menawarkan kedua-dua tertuduh jaminan berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada pihak mahkamah. 

“Tawaran wang ikat jamin tersebut mengambil kira nilai suapan berjumlah RM312,100 selain rasuah adalah sesuatu kes yang serius,” katanya. 

Bagaimanapun, Peguam Akmal Wahidah Abd. Halim yang mewakili pasangan suami isteri itu memohon jaminan lebih rendah susulan Suryono telah diberhentikan kerja dan Lyana merupakan suri rumah sepenuh masa. 

“Kedua-dua anak guam saya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta menanggung dua anak masing-masing berusia 18 dan 19 tahun yang masih belajar di dua buah kolej swasta yang berbeza,” jelasnya. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang ikat jamin masing-masing RM80,000 bagi Suryono dan RM50,000 bagi Lyana dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah. 

Tarikh sebutan semula kes bagi pasangan suami isteri itu ditetapkan 19 Oktober depan. 

Kosmo! Online pada 5 Mac lalu melaporkan SPRM menahan pasangan suami isteri tersebut pukul 2 petang di rumah mereka di Shah Alam kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah 
kira-kira RM361,000 daripada syarikat kontraktor bagi melakukan kerja pengujian terhadap paip-paip yang dipasang di projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang, Sabah tiga tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini