SRI AMAN 30 Sept. – Menteri Kerja Raya, Baru Bian berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (Pan Borneo) Sarawak.
Beliau berkata, hasil pemerhatiannya setakat ini, semua pakej yang sedang dalam pembinaan berjalan dengan baik.
“Saya difahamkan ada sedikit kelewatan di satu dua tempat tetapi masalah itu tidak serius.
“Setakat ini, perkembangannya sangat memuaskan dan diharap dapat dikekalkan supaya boleh disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui pemberita ketika membuat tinjauan di tapak pakej empat Pan Bornoe di Simpang Pantu-Batang Skrang di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak Lebuh Raya Borneo Utara (LBU) agar menasihatkan semua kontraktor terlibat dalam projek pembinaan lebuh raya berkenaan supaya mengenai peletakan tanda amaran demi menjamin keselamatan pemandu di sepanjang jalan.
Katanya, ini berikutan, beliau ada menerima aduan mengenai perkara tersebut yang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran trafik.
“Jadi, saya mahu memastikan kerja-kerja pembinaan jalan tidak mengganggu trafik,” ujarnya.
Tambahnya, beliau sendiri memahami cabaran dihadapi kontraktor dan LBU, namun mengharapkan agar tiada lagi aduan serius selepas ini. – UTUSAN ONLINE











