Bapa di ICU, Syafiq telefon setiap lima minit - Utusan Malaysia

Bapa di ICU, Syafiq telefon setiap lima minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ibu kepada pelakon Syafiq Kyle iaitu Rohaya Sulaiman, 55, memberitahu bahawa anaknya itu akan menghubunginya setiap lima minit untuk bertanyakan tentang keadaan bapanya, Abdul Razak Husin yang tiba-tiba rebah di majlis ramah mesra aktor tersebut bersama peminat di sebuah pusat hiburan keluarga, di Petaling Jaya malam tadi.

Kata Rohaya, anaknya itu amat risau mengenai keadaan bapanya namun terpaksa memenuhi komitmen kerjaya sehingga terpaksa berulang-alik dari hospital ke tempat yang lain. 

“Syafiq amat risau sehingga setiap lima minit akan menghubungi untuk bertanyakan keadaan bapanya. Saya faham kerjanya dan dia berada di sini apabila sudah selesai penggambaran secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Mengulas lanjut tentang keadaan suaminya, Rohaya berkata, Abdul Razak kini masih ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya setelah disahkan doktor mengalami pendarahan otak. 

“Suami masih separa sedar selepas disahkan doktor mengalami pendarahan otak sebelah kiri. Keadaannya dipantau rapi doktor yang bertugas. 

“Bagaimanapun, keadaan dia stabil buat masa ini namun belum boleh bercakap. Sama ada dia akan menjalani pembedahan atau tidak, itu belum diputuskan lagi oleh doktor,” ujar Rohaya lagi. 

Sementara itu, bercerita tentang keadaan cemas malam tadi, wanita itu berkata suaminya itu tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda-tanda sakit sebelum ini. Bagaimanapun, lelaki berusia 55 tahun itu pernah mempunyai sejarah penyakit darah tinggi namun tidak di tahap membimbangkan.

“Ketika kami tiba di majlis tersebut, dia ceria sahaja dan tiada masalah. Selalunya kalau dia sakit atau tak sihat dia akan beritahu. Dia makan dan minum seperti biasa sebelum ke majlis berkenaan. 

“Tidak sangka dia rebah secara tiba-tiba. Namun, syukur keadaannya sekarang semakin stabil. Mohon doa daripada orang ramai agar dia terus pulih seperti sedia kala,” kongsinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN