SEJAK beberapa tahun lalu, jumlah usahawan trak makanan (food truck) semakin bertambah di Negeri Sembilan dan hari ini ia dikatakan mencecah ratusan peniaga.
Kalau dulu mereka bergerak sendirian, kini nasib mereka terbela dengan penubuhan Persatuan Usahawan Food Truck Negeri Sembilan (NSFTEA) yang turut membantu individu berminat memulakan perniagaan berkenaan.
Wartawan Utusan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN bertemu Presiden NSFTEA, SHAFIZARD SAADIN yang bercakap tentang matlamat penubuhan persatuan itu dan potensi besar konsep perniagaan berkenaan.
BOLEH kongsikan sedikit matlamat penubuhan persatuan ini?
Sebelum ini kami bergerak secara kecil-kecilan selama dua tahun sehinggalah didaftarkan secara rasmi pada 10 Januari tahun ini. Matlamat persatuan ini adalah untuk membantu usahawan trak makanan sedia ada termasuk yang menjaja secara kecil-kecilan atau menggunakan van.
Kita juga mahu melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang ini kerana perniagaan ini lebih kemas dan tersusun serta tidak mencemarkan imej bandar, kerana kita lihat banyak gerai-gerai dibina dan tidak terurus di tepi jalan.
Berapa ramai ahli persatuan pada masa ini?
Walaupun baru ditubuhkan, persatuan ini mempunyai 40 ahli berdaftar dengan 30 daripadanya memiliki trak makanan. Sepuluh orang lagi mereka yang berminat dan kita sedang berusaha supaya mereka dapat memulakan perniagaan.
Ahli kita berniaga sepenuh masa, ada antaranya bekas jurutera yang berhenti kerja semata-mata untuk berniaga. Ada juga yang merupakan persatuan anak-anak yatim.
Kita juga menerima kalau ada penjaja, peniaga pasar malam atau karavan yang mahu mencuba perniagaan ini, kita akan bagi jalan. Pada masa ini ramai usahawan trak makanan yang beroperasi di semua daerah di Negeri Sembilan.
Apakah bentuk bantuan dan insentif yang disediakan kepada ahli?
Bagi memudahkan mereka, kita akan berikan kursus. Ini termasuk mengajar persediaan memulakan perniagaan, buat kira-kira supaya mereka tahu untung rugi. Persatuan juga bantu mereka di mana hendak beli trak dan peralatan yang sesuai.
Biasanya sebuah trak yang premium harganya mencecah RM90,000 tetapi yang biasa sekitar RM45,000 hingga RM50,000. Kita akan sentiasa beri khidmat nasihat dan bimbingan.
Selain itu, kita juga berusaha mengatasi isu lesen untuk tapak berniaga. Yang paling penting kita dapatkan peluang untuk mereka berniaga dalam acara-acara besar dan rasmi yang mempunyai ramai pengunjung. Antara acara yang kita pernah sertai ialah Angsi Challenge, Fit Malaysia, pementasan teater Bingkas Timur, majlis konvokesyen dan rumah terbuka.
Apakah cabaran yang biasa dihadapi usahawan bidang ini?
Kebiasaannya adalah berkaitan lesen untuk tapak berniaga. Ahli kami bergerak dan berniaga secara harian di tempat awam. Kami perlukan tapak yang betul-betul konsisten dan tiada gangguan. Sebagai contoh, ada yang berniaga di Senawang, Taman Tuanku Ja’afar, Ampangan selain di Kuala Pilah dan Jempol.
Untuk berniaga semasa acara besar atau majlis jemputan itu tiada masalah dari segi tapak kerana telah diaturkan oleh persatuan. Isu lain, mungkin melibatkan modal pusingan yang kadangkala boleh jadi masalah buat peniaga.
Bagaimana kerjasama yang diberikan agensi swasta atau kerajaan negeri kepada persatuan?
Kami mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri terutama sekali Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Dalam pertemuan baru-baru ini, beliau berjanji akan memberi sokongan dan mahu lihat industri ini terus berkembang termasuk membantu mendapatkan lesen perniagaan.











