Banjir di tenggara AS belum reda - Utusan Malaysia

Banjir di tenggara AS belum reda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GRIFTON, Carolina Utara – Banjir besar mencetuskan ancaman empangan pecah dan tanah runtuh di tenggara Amerika Syarikat (AS) semalam, melanjutkan lagi pen­deritaan akibat Taufan Florence yang meragut lebih 12 nyawa dan mendatangkan kerosakan berbilion-bilion dolar.

Taufan Florence yang kini dikategorikan sebagai ribut tropika ekoran kekuatannya merosot, bergerak perlahan di Carolina Utara dan Selatan. Ribut itu membawa hujan lebat yang menyebabkan sungai-sungai melimpah. Si­tuasi tersebut mendorong pihak berkuasa memberi amaran bahawa lebih banyak kematian dan kemusnahan dijangka berlaku.

Pusat Ramalan dan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran kelmarin bahawa hujan lebat itu diramal berterusan selama beberapa hari lagi.

Terdapat risiko tinggi berlakunya tanah runtuh di barat Carolina Utara dan barat daya Virginia selain bahaya banjir kilat yang mengancam nyawa penduduk di beberapa kawasan di Carolina Utara dan Selatan, kata agensi tersebut.

“Ramai orang telah dipindahkan,” kata seorang penduduk di bandar Grifton, Denise Harper. Bandar kecil di Carolina Utara itu berdepan bahaya berikutan paras air sungai berhampiran, Sungai Neuse meningkat.

Dalam perkembangan ber­kaitan, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh sejak Taufan Florence melanda Jumaat lalu, masing-masing 10 orang di Carolina Utara dan lima orang di Carolina Selatan.

“Malangnya, kami perlu meng­harungi bencana ini selama beberapa hari lagi,” kata Brock Long yang merupakan pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan kepada Fox News.

Kebimbangan kini tertumpu kepada risiko empangan akan pecah ekoran hujan lebat yang dibawa oleh ribut tropika awal bulan ini, katanya sambil menggesa penduduk supaya mematuhi amaran bencana banjir.

“Kita perlu memberi tumpuan untuk mengenal pasti sama ada terdapat empangan yang berpotensi untuk pecah. Walaupun taufan membawa angin kencang, kebanyakan kematian yang berlaku adalah disebabkan oleh banjir,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 2,800 Pengawal Kebangsaan Carolina Utara kini aktif membantu usaha menyelamat dengan 1,000 anggota lagi bersiap sedia untuk dikerahkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN