Bangsal usang tempat simpan ganja, senjata api - Utusan Malaysia

Bangsal usang tempat simpan ganja, senjata api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Sept. – Rasa curiga penduduk terhadap sebuah bangsal usang dalam kebun getah di Kampung Kubang Binjai, Pasir Mas rupa-rupanya berasas apabila polis menemukan senjata api dan ketulan ganja mampat seberat 1.58 kilogram ketika menyerbu lokasi itu, Khamis lalu.

Dalam serbuan pada pukul 2 petang, polis turut menahan seorang pemilik kebun getah tersebut, seorang lelaki berusia 52 tahun yang sedang berehat dalam pondok terbabit.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat awam yang mengesyaki terdapat aktiviti mencurigakan di bangsal usang berkenaan yang terletak di lokasi terpencil dan jauh dari laluan utama.

Katanya, selepas melakukan pemeriksaan lanjut, polis menemukan selaras senapang jenis Rominton berwarna hitam dan sepucuk pistol berwarna perak di atas lantai bangsal.

“Anggota kita turut menjumpai satu bungkusan plastik biru mengandungi ketulan daun kering mampat disyaki ganja dengan anggaran berat 1.58 gram dan nilai pasaran semasa dadah ini boleh mencecah RM4,500.

“Suspek pula didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah namun saringan air kencing ke atasnya didapati negatif,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Hasanuddin, suspek mendakwa tidak tahu menahu mengenai senjata api atau ganja tersebut dan dia sedang berehat di situ sambil menunggu kedatangan anak lelakinya.

Sehubungan itu kata beliau, polis sedang mengesan anak lelaki suspek yang berusia 23 tahun bagi membantu siasatan manakala suspek pula direman selama enam hari bermula Jumaat lalu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjataapi (Penalti lebih berat) 1971, Sekysen 8 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN