JOHOR BAHRU 27 Sept. – Balu Penolong Pengurus Pasukan Sepak Takraw Johor, Allahyarham Ahmad Huzaimy iaitu Nor Fadillah Pajar, 34, menyifatkan bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diterima akan mengurangkan sedikit bebanan ekonomi keluarganya.
Menurutnya, proses bantuan diterima pihaknya daripada Perkeso amat cepat apabila Perkeso terus menghubungi pihaknya sebelum jenazah suaminya dikebumikan.
“Pihak Perkeso menghubungi saya dan memaklumkan arwah ada mencarum sedangkan saya sendiri tidak pernah tahu, di situ saya nampak sedikit sinar untuk meneruskan hidup,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Seri Alam di sini semalam.
Nor Fadillah yang merupakan seorang kakitangan kerajaan menerima faedah pencen bulanan RM357.50 sepanjang hayatnya, selain menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000.
Yang turut hadir, Presiden Sepak Takraw Johor, Datuk Halim Suleiman dan Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang.
Allahyarham meninggal dunia di rumah inap pasukan berkenaan di Taman Desa Putra Indah, Tanjung Rambutan, di Ipoh, Perak, pada 13 September lalu.
Ketika itu Allahyarham berada di Ipoh bersama-sama kontinjen Johor bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 Perak 2018.
Sementara itu, Sing Chuang memberitahu, maklumat awal berkenaan Allahyarham diterima pihaknya menerusi laman sosial pada 13 September lalu.
Katanya, Skuad Perkeso Prihatin kemudian mengambil langkah proaktif dengan membuat semakan awal bagi mendapatkan maklumat keluarga Allahyarham.











