KUALA LUMPUR – Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka China berakhir selepas tiga pasangan negara yang meneruskan saingan, tumpas kepada lawan masing-masing pada pusingan kedua kejohanan berkenaan di Changzhou, malam tadi.
Pada aksi berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Changzhou itu, pasangan beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi tentangan sengit menentang Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama dari Indonesia, sebelum tewas 14-21, 21-17 dan 19-21, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.
Satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga menampilkan aksi membanggakan sebelum kalah kepada pilihan kedua, Li Junhui-Liu Yuchen dari China; 15-21, 21-17 dan 17-21.
Pasangan beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga berdepan nasib yang sama selepas tumpas 21-19, 16-21 dan 22-24 kepada pilihan keempat, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.
Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM4.135 juta). – Bernama










