BEIJING 24 Sept. – Mulai hari ini, Amerika Syarikat (AS) dan China menguatkuasakan tarif baharu terhadap barangan masing-masing sebagai tindak balas antara satu sama lain, dengan kedua-duanya tidak menunjukkan tanda mahu berkompromi.
Tarif AS terhadap barangan China bernilai AS$200 bilion (RM826 bilion), sementara China mengenakan tarif balasan bernilai AS$60 bilion (RM247.8 bilion) bagi produk dari AS.
Ia menjadi perang perdagangan rasmi baharu selepas kedua-dua negara itu melaksanakan tarif barangan bernilai AS$50 bilion (RM206.5 bilion) pada awal tahun ini.
Walaupun seorang pegawai kanan Rumah Putih minggu lalu berkata, AS akan terus terlibat dengan China dalam ‘cara yang positif ke hadapan’, kedua-dua pihak dilihat tidak bersedia berkompromi.
Seorang pegawai AS pada Jumaat lalu berkata, tidak ada tarikh ditetapkan bagi perbincangan perdagangan seterusnya.
Wall Street Journal melaporkan, China telah membatalkan perbincangan dengan AS, dan tidak akan menghantar Naib Perdana Menterinya, Liu He ke Washington minggu ini.
Penganalisis memberi amaran bahawa pertikaian itu akan menjejaskan pertumbuhan bukan sahaja di AS dan China, tetapi melangkaui ekonomi global lebih meluas. Kebimbangan tentang konfrontasi itu menggegarkan pasaran kewangan.
Ketegangan itu juga melemahkan hubungan antara Beijing dan Washington, dengan kedua-dua pihak mengambil sikap berkeras kepala terhadap semakin banyak isu.
China memanggil duta besar AS di China dan menunda perbincangan ketenteraan bersama sebagai protes terhadap keputusan AS menyekat agensi ketenteraan China daripada membeli jet pejuang dan sistem peluru berpandu Rusia.
Perbincangan berkaitan perang perdagangan itu di Washington bulan lepas tidak mendatangkan sebarang hasil bermakna.
Pentadbiran AS akan mengenakan levi tarif 10 peratus ke atas produk China bernilai AS$200 bilion (RM826 bilion), dan akan meningkat sehingga 25 peratus menjelang hujung tahun ini. Levi baharu Beijing pula adalah lima hingga 10 peratus.
Presiden Donald Trump pada Sabtu sekali lagi mengulangi ancaman untuk mengenakan tarif lanjut kepada barangan China sekiranya Beijing bertindak balas, selari dengan komennya sebelum ini.
Import China adalah jauh lebih sedikit berbanding AS, sekali gus menjadikan perlawanan dolar untuk dolar bagi mana-mana tarif baharu AS, sesuatu yang mustahil. – REUTERS










