APM sasar tubuhkan pasukan khas di setiap negeri - Utusan Malaysia

APM sasar tubuhkan pasukan khas di setiap negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 14 Sept. – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu pasukan khas dalam kalangan anggota sukarela agensi itu di setiap negeri yang mampu bertindak pantas dalam berdepan situasi kecemasan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Roslan Wahab berkata, setakat ini, Negeri Sembilan menjadi perintis dengan penubuhan pasukan Volatile Incident Phase & Emergency Response (VIPER).

Menurutnya, ia sejajar dengan transformasi APM secara keseluruhan seperti digariskan dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara Nombor 20 dan 21 iaitu Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara serta Mekanisme Pengurusan Ancaman Ketenteraman Awam.

“Penubuhan pasukan VIPER ini amat bertepatan demi memastikan APM dapat bersifat responsif dalam menghadapi situasi bencana dan ketenteraman awam yang semakin kompleks serta tiada pola khusus.

“Saya berharap APM di negeri lain akan mengambil langkah sama menubuhkan pasukan khas masing-masing. Ini kerana, apabila bencana melanda, kadang-kala kita memerlukan satu pasukan terbaik yang mampu melakukan semua perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penubuhan Pasukan VIPER Negeri Sembilan dan Penyerahan Watikah Pelantikan Yang di-Pertuan Agong kepada Pegawai Skim KP APM negeri ini di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah APM negeri, Fazlisyah Muslim.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN