PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan kempen pertamanya sebaik selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dengan beramah mesra bersama masyarakat Sikh di rumah ibadat mereka, Gurdwara Saheb di sini, hari ini.
Dalam kunjungan selama satu jam itu, Ketua Umum PKR itu berkongsi harapan agar keamanan dan kerharmonian kaum yang terjalin selama ini terus dipertahankan.
“Saya hormati semua agama dan nilai. Saya hargai perbezaan, untuk ini saya akan dapat beberapa sokongan tetapi juga cemuhan. Saya percaya kehadiran saya di sini akan mengakibatkan kehilangan beberapa undi daripada kalangan golongan Islam konservatif, tetapi biar saya beritahu mereka bahawa dalam agama saya (Islam), menghormati dan memahami budaya dan agama yang berbeza adalah penting,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang itu.
Mengiringi Anwar ialah Naib Presiden PKR yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jeyakumar.
Mereka disambut Presiden Gurdwara Saheb Port Dickson, Sanjeet Singh.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. – Bernama











