KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, keputusannya untuk keluar daripada UMNO adalah kerana parti itu dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menunaikan janji berhubung perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Setelah bermuhasabah diri dan memikirkan dengan sedalam-dalamnya, saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini dibuat kerana saya pernah berjanji kepada pengundi di Parlimen Kimanis dan rakyat Sabah secara keseluruhannya sebelum ini bahawa saya akan meletakkan jawatan dalam parti sekiranya UMNO dan BN gagal menunaikan janji dalam perkara berkaitan MA63,” katanya dalam satu kenyataan semalam.











