KUALA LUMPUR 14 Sept. – Tidak sampai 24 jam diburu, dua daripada tiga lelaki yang diburu bagi membantu siasatan kes bunuh seekor kucing bunting ditahan awal pagi ini.
Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di sekitar daerah itu hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya kini bagaimanapun sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.
“Kedua-dua suspek berusia 26 dan 40 tahun itu kita akan tahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh binatang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, polis mengeluarkan gambar tiga lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan tular dalam laman sosial sejak kelmarin rakaman mengenai tindakan dua lelaki memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Gombak dekat sini.
Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan dan dikongsi oleh Persatuan Haiwan Malaysia.
Menerusi rakaman berdurasi selama dua minit 50 saat itu, kelihatan dua lelaki yang juga pelanggan dobi memasukkan kucing tersebut ke dalam mesin pengering.
Dua lelaki itu kemudian berlalu pergi sambil membawa baju yang sudah dibasuh, namun kemudian datang semula beberapa saat kemudian sambil memasukkan duit syiling ke dalam mesin pengering berkenaan.
Kedua-duanya meninggalkan kedai dobi itu sebaik menekan butang ‘mula’ pada mesin pengering yang mengandungi kucing betina berkenaan sebelum bangkainya ditemukan seorang pelanggan dalam keadaan berlumuran darah.










