Andre lebur rekod jurulatih sendiri - Utusan Malaysia

Andre lebur rekod jurulatih sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kegagalan melakukan lompatan dengan sempurna hampir meragut emas yang dimenangi oleh atlet Sabah, Andre Anura Anuar dalam acara lompat kijang lelaki Sukma 2018 di Stadium Perak semalam.

Atlet berusia 19 tahun itu terlebih dahulu gagal m­elakukan dua lompatan pada aksi saringan, namun berjaya mara ke final pada lompatan ketiga.

Selain emas, Andre turut meleburkan rekod temasya berusia 10 tahun milik jurulatihnya sendiri, Ahmad Firdaus Salim yang dicipta pada Sukma 2008 di Terengganu selepas membuat lompatan sejauh 15.91 meter (m), mengatasi lompatan sejauh 15.75m.

Pingat perak menjadi milik wakil tuan rumah, Lau Jit Sung setelah mencatat 15.44m, manakala gangsa pula dimenangi Muhamad Nazri Mustafa dari Kedah dengan catatan 15.12m.

“Sebelum turun beraksi, saya yakin boleh memperbaharui rekod temasya kerana pencapaian peribadi terbaik adalah 15.95m. Sudah tentu saya gembira kerana dapat memecahkan rekod jurulatih saya sendiri.

“Bagaimanapun, ketika sa­ringan awal saya hampir gagal layak ke final kerana dua lompatan pertama dibatalkan dan jika lompatan ketiga masih gagal bermakna perjuangan saya tamat.

“Lebih mencabar saya menerima tentangan sengit daripada wakil tuan rumah, selain Nazri dan Muhamad Fitri Anaqi Sobry dari Kedah. Bagaimanapun, saya cuba kekal bertenang dan menye­rap tekanan tersebut,” kata atlet dari Tenom itu.

Emas tersebut merupakan pingat kedua yang dimenangi Andre selepas meraih perak dalam acara lompat jauh lelaki kelmarin.

Menurut atlet pelapis kebangsaan itu lagi, walaupun sudah memenangi emas serta memecahkan rekod kejohanan, namun dia tidak mahu cepat berpuas hati, sebalik­nya ingin berusaha memperbaiki lompatannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN