KUALA LUMPUR – Petronas menggesa semua penggiat industri minyak dan gas (O&G) sentiasa mengambil pendekatan berwaspada dalam mendepani landskap perniagaan yang tidak menentu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, langkah perlu diambil sungguhpun prospek sektor berkenaan kian menunjukkan pemulihan.
“Sehingga kini, harga purata minyak mentah Brent berada pada paras AS$74 (RM306) setong berbanding AS$54 (RM223) pada tahun lalu.
“Selain itu, kami turut melihat peningkatan dalam pelaburan yang seiring dengan kenaikan harga minyak mentah serta prospek perniagaan yang lebih baik.
“Di samping itu, jumlah telaga minyak yang beroperasi kini ialah 20 unit berbanding 15 unit telaga pada akhir 2017.
“Walaupun angka-angka ini menunjukkan satu perkembangan yang baik, namun kami boleh menjangkakan ketidaktentuan akan berterusan ekoran faktor luaran seperti perang dagangan dan risiko geopolitik lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) 2018 di sini semalam.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia, Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Azizi A. Hadi.
Wan Zulkiflee berkata, model perniagaan yang dilaksanakan juga perlu kukuh untuk berupaya mengharungi kitaran turun naik harga dalam industri berkenaan.
Beliau menambah, sektor minyak dan gas negara juga berdepan dengan pelbagai perubahan yang mempengaruhi cara perniagaan dijalankan termasuk teknologi baharu, produk yang dipertingkatkan data dan pesaing yang inovatif serta jangkaan pelanggan yang berubah-ubah.
“Komitmen baharu terhadap alam sekitar turut mempercepatkan perubahan sikap pelanggan, sebagaimana yang dialami sektor pengangkutan yang menyaksikan peningkatan pasaran global kenderaan elektrik.
“Malah, pada minggu lalu, kerajaan telah mengumumkan pengharaman penyedut minuman mulai Januari 2019 yang juga langkah penambahan pada penggunaan beg plastik dan bungkusan makanan polistirena sedia ada.
“Kesemua perubahan ini akan memberikan impak signifikan kepada industri minyak dan gas, seterusnya mewujudkan medan saingan yang dinamik kepada semua penggiat termasuk penyedia perkhidmatan,” katanya.











