Amanah mahu jadikan Islam rahmat untuk semua - Utusan Malaysia

Amanah mahu jadikan Islam rahmat untuk semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH 22 Sept. – Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat menjadikan Islam sebagai rahmat untuk semua supaya tiada individu atau mana-mana pihak yang takut apabila berada di negara Islam termasuk Malaysia.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, peranan itu perlu dimainkan secara serius oleh ahli dan kepemimpinan Amanah kerana Islam dan umatnya tercemar pada ketika ini.

“Jadi, kita perlu bangunkan ketamadunan ini, jangan kita malu dan segan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita perlu bangkit melaksanakan pembaharuan dan saya harap Amanah dapat memunculkan Islam sebagai rahmat untuk semua,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Amanah di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub dan barisan kepemimpinan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan kepemimpinan parti itu supaya tidak leka dan menyalahgunakan jawatan diterima.

“Apakah dengan memegang jawatan itu ia melambangkan kekuatan parti? Kalau pegang jawatan lambang kekuatan parti, UMNO tidak akan kalah sampai bila-bila. Kalau wang jadi punca, UMNO tak akan kalah sampai bila-bila.

“UMNO kalah sebab wang banyak, jawatan banyak. Bila dapat jawatan semua ini adalah tanggungjawab kita kepada Allah dan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli dan pimpinan parti itu supaya tidak terlibat dengan salah laku dan perbuatan rasuah.

“Saya akan mengambil tindakan tegas kepada ahli dan pimpinan yang terlibat dalam salah laku dan rasuah kerana perbuatan seperti ini akan merosakkan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini