TIDAK sangka pula, program Kemboree Sahabat 4×4 yang diadakan di Lubuk Gemerang, Pasir Raja, Dungun, Terengganu mendapat sambutan luar jangkaan. Kehadiran 800 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) dari seluruh negara menjadikannya program terbesar di negara ini.
Sebanyak 13 kenderaan dari Kelab Teranno Malaysia (TCM) turut menyertai program ini. Penulis juga berpeluang menyertai perkhemahan ini.
Bersama beberapa rakan iaitu Mohd Ariffin Abu, Mohd Zaini Khalid dan Mohamad Farid Zainal, kami bergerak dari Taman Seri Serdang menuju ke stesen BHP Gombak untuk bergabung dengan Nik Adib Nik Rahimi. Ketika kami tiba, stesen petrol ini penuh dengan kenderaan pacuan empat roda daripada pelbagai jenis, menjadikannya lokasi berkumpul bagi kumpulan masing masing.
Kami saling berkenalan dan bertegur sapa. Apa yang pasti, destinasi kami adalah sama iaitu Pasir Raja, Dungun. Lebih mengujakan apabila program ini berjaya menyatukan kira-kira 100 kumpulan dan Kelab 4×4 untuk bergabung bagi menjayakan satu program besar yang dinamakan Kemboree Sahabat 4×4.
Tepat pukul 12 tengah malam, kami memulakan perjalanan menuju ke persimpangan selepas menyusur keluar arah Kuantan untuk bergabung dengan wakil dari Kuantan pula.
Sesuatu yang pelik berlaku pada kenderaan saya. Radio ‘off’ sendiri dan tidak lama kemudian, ‘aircond’ pula meragam iaitu tidak lagi mampu mengeluarkan suhu sejuk. Saya mula merasa curiga. Lampu utama kelihatan semakin kuning. Panel meter semakin malap. “Sudah…,” bisik kata hati. Ini mungkin petunjuk alternator bermasalah.
Dengan menggunakan radio dua hala, saya maklumkan masalah itu kepada rakan lain. Saya dinasihatkan berhenti di Hentian Lancang untuk pemeriksaan dan kepastian. Enjin dimatikan dan kemudian cuba dihidupkan semula, tetapi gagal!. Sah…,alternator rosak. Agak cemas dibuatnya memandangkan perjalanan ke Dungun masih jauh.
Selepas berbincang dengan rakan-rakan, saya dicadangkan menukar bateri dengan seorang rakan lain dan memandu sehingga Kuantan. Di situ, Muhammad Faizul Mat Kassim (Joe) dan beberapa rakan akan cuba mendapatkan alternator terpakai yang boleh digunakan. Sekitar pukul 2 pagi, tidak banyak yang boleh dilakukan. Saya hanya berserah.
Kami menyambung semula perjalanan yang tergendala. Selepas itu, semua komponen yang menggunakan elektrik terpaksa dimatikan, hanya lampu kecil sahaja digunakan. Berpandukan lampu kenderaan di hadapan, saya meneruskan perjalanan.
Panel meter jentera saya masih terang seperti biasa. Jadi, saya buat keputusan untuk tidak berhenti di susur keluar Kuantan bagi menukar alternator terpakai yang dapat dicari oleh seorang rakan di Kuantan. Selepas bergabung dengan mereka, kami meneruskan perjalanan ke stesen Petronas Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Di situ, kami bergabung pula dengan rakan-rakan dari Utara dan Pantai Timur.
Sebaik sahaja tiba di stesen Petronas pada pukul 6.30 pagi, kelihatan Azman Said (Pak Man) dan beberapa rakan sedang nyenyak tidur di tepi jalan berhampiran stesen minyak tersebut.
Stesen ini juga penuh dengan kenderaan yang berhenti rehat untuk berkumpul dengan rakan-rakan lain. Usai solat subuh, kami berehat sebentar sambil menunggu kedai makan berhampiran dibuka untuk menikmati sarapan.
Selepas itu, kami berkonvoi masuk ke Pasir Raja menuju ke tapak acara di Lubuk Gemerang, Pasir Raja. Semakin dekat menghampiri tapak itu, semakin sesak kenderaan. Konvoi menjadi sangat panjang kerana kebanyakan peserta sampai di sini pada waktu yang hampir sama.
Berebut-rebut juga untuk mendapatkan tapak khemah dengan kumpulan lain. Mujur masing-masing bertolak ansur. Selepas mendirikan khemah utama untuk kumpulan dan khemah dapur, kami mula mencari lokasi terbaik untuk memacak khemah masing-masing pula.
Tapak perkhemahan disediakan penganjur, Sahabat 4×4 (gabungan kelab, kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 4×4) sangat luas iaitu di sepanjang sungai Lubuk Gemerang. Kumpulan saya terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan kecil iaitu mendirikan khemah di celah pokok-pokok hutan di situ.
Program kali ini, ramai yang bawa keluarga. Jadi, menu makanan yang disediakan juga agak istimewa dan mewah daripada biasa.
Maklumlah ada ramai cef jemputan yang membantu. Menu seperti nasi Arab bersama gulai dan ayam masak ros, dalca, jelatah, telor, sup tulang, bubur kacang bersama durian, mi goreng, mihun goreng, labu goreng dan barbeku kambing serta sosej menjadi hidangan kami sepanjang bersantai di sini.











