Alkahfi labur RM20j perkenal bot eksekutif - Utusan Malaysia

Alkahfi labur RM20j perkenal bot eksekutif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 24 Sept. – Alkahfi Lestari Oil & Gas Sdn. Bhd, melancarkan bot laju kru (FCB) bertaraf eksekutif pertamanya, ‘Alkahfi Care’ di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini semalam, sekali gus menjadi penanda aras baharu bagi perkhidmatan pe­ngangkutan ke pelantar minyak dan gas di negara ini.

Syarikat milik bumiputera yang turut terlibat dalam pembekalan produk petrokimia itu melabur sebanyak RM20 juta bagi pembelian bot bersaiz sederhana yang dikatakan paling pantas, selesa serta dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dalam usaha penambahbaikan perkhid­matannya, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Mohd. Nazri Mohd. Zain berkata, kapal Flex-42X (Alkahfi Care) yang dibina di Singapura, sepanjang 42 meter itu mampu mengangkut 80 pekerja ke pelantar dengan kelajuan sehingga 30 knot berbanding kapal pengangkut konvensional hanya 25 knot.

“Alkahfi Care merupakan kapal pengangkut bersaiz sederhana pertama di dunia yang mendapat pasport hijau dalam kelasnya.

“Ketika ini kita mempu­nyai enam bot kru konvensional bersaiz sederhana dan pelancaran Alkahfi Care dan Alkahfi Courage (yang akan dilancarkan tidak lama lagi) melengkapkan segmen FCB kami (bagi kategori eksekutif),” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Yang turut hadir, Pengerusi Alkahfi Lestari Oil & Gas Sdn. Kamal Affandi Hassan bersama wakil-wakil syarikat dan pemain utama dalam industri minyak dan gas di negeri ini termasuk Petronas, ExxonMobil, Repsol, Sapura, Vestigo dan Epic.

Alkahfi Care turut dilengkapi 12 bilik penginapan anak kapal, dek kargo 110 meter persegi, pelbagai kamera litar tertutup dalam dan di luar untuk liputan keselamatan maksimum, pencahayaan semula jadi yang cukup untuk penumpang dan anak kapal di dek utama dan di bawah dek utama.

Menurut Mohd Nazri, selain mengangkut pekerja pelantar minyak, Alkahfi Care juga dilengkapi dengan peralatan khas untuk memadam kebakaran luar, mencari dan menyelamat serta rondaan keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN