JIKA dahulu kegilaan bermain permainan elektronik mungkin tidak digalakkan dalam kalangan masyarakat terutama remaja kerana ia dianggap sebagai satu perbuatan melalaikan, buang masa dan tidak menjamin masa depan.
Bagaimanapun, peredaran zaman telah mengubah persepsi permainan elektronik apabila industri itu mula berkembang pesat melalui saluran sukan elektronik (e-Sukan).
Percaya atau tidak, karier pemain profesional permainan elektronik bukan lagi menjadi satu cerita dongeng yang mana profesion itu dilihat mampu menjamin masa depan mereka.
Selaras dengan peredaran jenama, industri e-Sukan yang mendatangkan ganjaran lumayan menerusi pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara, mula berkembang dengan pesat dalam negara apabila populariti pemain profesional terbabit hampir setaraf dengan artis-artis terkenal tanah air.
Itulah yang berlaku kepada kumpulan pemain-pemain profesional e-Sukan dalam pertandingan Mobile Legend, AirAsia Saiyan apabila kelibat mereka mencuri tumpuan sebaik membuat penampilan dalam e-Sukan Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Ketua pasukan AirAsia Saiyan, Ahmad Fuad Razali yang lebih terkenal dengan nama pelopor, Fredo di Mobile Legend tidak menyangka dia bersama rakan-rakan sepasukannya menjadi tumpuan ramai selepas peminat-peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk berswafoto dengan selebriti e-Sukan.
“Sejujurnya, ia masih menjadi satu kejutan buat saya. Saya tidak menyangka ramai mengenali saya dan mahu bergambar. Ini menunjukkan satu petanda positif yang mana e-Sukan telah mula diterima di Malaysia.
“Saya tidak tahu sama ada kami telah menjadi selebriti tetapi saya dan rakan-rakan mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap peminat yang sentiasa mendoakan kejayaan pasukan AirAsia Saiyan selama ini.
“Secara tidak langsung, ia akan membuka mata ramai pihak yang mana sebelum ini bermain permainan elektronik tidak ada masa depan tetapi sekarang ia telah menjadi satu karier yang serius dan mampu menjamin masa depan.
“Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa industri sukan permainan digital ini akan terus bertapak kukuh dan mendapat perhatian anak-anak muda negara,” katanya kepada Kosmo! di Ipoh baru-baru ini.
Profesional
Dalam perkembangan sama, Pengurus AirAsia Saiyan, Benjamin Leong Kian Jin memberitahu, pasukannya bermain permainan digital secara sihat, bukannya tanpa pengawasan sehingga menyebabkan mereka kehilangan ‘sentuhan’ untuk bersosial.
Menurut Kian Jin, AirAsia Saiyan cukup menitikberatkan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang mana beliau mahu memastikan anak-anak buahnya berada dalam keadaan terbaik sebelum turun beraksi dalam mana-mana kejohanan.
“Tidak bermakna mereka pemain profesional, jadi mereka akan bermain permainan digital selama 24 jam. Kami akan sentiasa memastikan mereka bermain dalam persekitaran yang sihat.
“Kebiasaannya mereka akan memulakan latihan bermula pukul 11 pagi sehingga 5 petang tetapi ia bergantung kepada keadaan. Kami tidak menggalakkan mereka bermain selama mungkin kerana kesihatan fizikal dan mental harus dijaga.
“Nasihat saya kepada mana-mana individu terutama remaja yang serius mahu berkecimpung dalam industri e-Sukan, mereka wajib menamatkan pengajian terlebih dulu dan meminta restu ibu bapa mereka.
“Ini sangat penting kerana restu daripada ibu bapa dan pendidikan sebelum kamu membuat keputusan penting dalam karier kamu memandangkan industri e-Sukan sudah menjadi semakin popular,” katanya.
Antara pencapaian AirAsia Saiyan termasuk juara Kejohanan Mobile Legends Piala Asia Tenggara (MSC) peringkat Malaysia tahun lalu, juara Kejohanan Mobile Legends eCurve pada Mac dan tempat keempat Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura baru-baru ini.










