KUALA LUMPUR – Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta segera mengeluarkan laporan penilaian mengenai projek pembangunan yang diluluskan bagi memberi peluang kepada penduduk setempat membantah pembangunan di kawasan kejiranan masing-masing.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana ada tanah yang sebelum ini dikhaskan untuk pembangunan perumahan tetapi kini ditukar kepada status pembangunan komersial, sekali gus memberi impak kepada penduduk setempat.
Katanya, dua projek kondominium yang dibantah sebelum ini gagal dihentikan apabila DBKL tetap meluluskannya dan kini satu lagi projek kondominium bakal dilaksanakan berhampiran kawasan Kondominium Desa Putra, Setiawangsa di sini.
“Perkara ini berlaku disebabkan Draf Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 masih belum digazetkan.
“Justeru saya menggesa Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan DBKL agar segera menggazetkannya secepat mungkin sekali gus membolehkan segala rancangan pembangunan di Kuala Lumpur mengikut pelan ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut memberi tekanan baharu buat kira-kira 2,000 penduduk Kondominium Desa Putra apabila cadangan projek kondominium baharu itu bukan hanya menambahkan lagi kepadatan penduduk sedia ada tetapi juga melibatkan pertukaran kegunaan tanah daripada untuk perumahan kepada komersial.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Desa Putra, Abu Bakar Ariffin berkata, berdasarkan papan tanda cadangan yang dipasang, projek tersebut mengandungi 382 unit dengan 46 tingkat termasuk 8 podium tempat letak kereta, terletak begitu hampir dengan kondominium Desa Putra iaitu dengan jarak hanya kira-kira 10 meter.
Menurutnya, apa yang menjadi kebimbangan apabila ia bakal memberi kesan kepada lalu lintas di kawasan tersebut yang kini sudah sedia sesak dengan kenderaan dari pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran.
“Kami bukannya menolak pembangunan tetapi projek ini perlu mengambil kira persekitaran kawasan. Tertukaran kegunaan tanah kepada komersial juga menyebabkan kami selaku penduduk bimbang kawasan menjadi lebih padat.
“Surat bantahan yang ditandatangani oleh 60 peratus penduduk telah dihantar pada 27 Ogos lalu kepada DBKL, namun sehingga kini, tiada sebarang maklum balas yang diperoleh,” katanya. – K! ONLINE










