KEMAMAN 22 Sept. – Sebuah tapak pembinaan termasuk rumah kongsi ditutup serta-merta selama dua minggu kerana dikesan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes dalam Ops Gempur Aedes oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang berakhir semalam.
Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abdul Rahman memberitahu, dalam operasi bersama Jabatan Alam Sekitar Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), tujuh
lagi pengusaha projek pembinaan dikenakan
kompaun maksimum.
Beliau memberitahu, tapak yang diarah tutup bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 itu melibatkan 12 unit rumah semi D.
“Hasil pemeriksaan mendapati hampir kesemua lantai bilik air yang belum siap dipenuhi pembiakan aedes.
“Pemeriksaan di kawasan rumah kongsi pekerjanya mendapati warga asing yang tinggal di situ mengabaikan kebersihan dengan sampah-sarap dibuang merata-rata,” ujarnya di sini semalam.
Operasi selama dua hari itu diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Rosli Wahab melibatkan seramai 27 anggota Pejabat Kesihatan Daerah dengan dibantu 13 anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar MPK.
Katanya lagi, syarikat yang dikenakan tindakan perlu menubuhkan pasukan kawalan aedes di kalangan pekerja bagi membuat pemeriksaan secara berjadual sekurang-kurang seminggu sekali, menjalankan kerja-kerja ‘larvasid’ dan membuat semburan racun.
“ Ia juga perlu memusnahkan kawasan yang mempunyai bekas-bekas berpotensi pembiakan aedes serta melantik syarikat kawalan mahkluk perosak untuk kerja-kerja kawalan pembiakan aedes,” ujarnya.
Menurut Mohd Anuar, pihaknya amat memandang serius pembiakan aedes dan operasi akan dijalankan secara berterusan.
“Tapak pembinaan yang didapati mempunyai kesalahan berulang atau pembiakan yang tinggi akan ditutup serta-merta dan akan didakwa ke mahkamah.
“Ini merupakan tapak binaan yang kedua ditutup pada tahun ini. Sebanyak tiga kes telah didaftar di mahkamah dan satu daripadanya telah dikena denda sebanyak RM5,000,” ujarnya- UTUSAN ONLINE










