JOHOR BAHRU 30 Sept. – Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, Akmal Nasir mencadangkan supaya dijalankan proses simulasi atau demonstrasi bagi pengundian menggunakan e-undi terutamanya kepada golongan warga emas.
Beliau yang juga calon Ketua PKR Cabang Johor Bahru berkata, sistem yang diguna pakai itu kepada pengundi muda memudahkan, namun menimbulkan sedikit kesukaran kepada ahli parti terdiri daripada golongan warga emas.
“Pada pendapat saya, ia sebenarnya boleh diatasi kalau ada proses simulasi untuk memberi penerangan dahulu. Bagi mereka lalui proses mengundi dahulu kemudian baru kita adakan pemilihan. Sistem itu tiada masalah cuma penggunaannya.
“Saya mungkin akan kemukakan (cadangan simulasi) supaya mereka dapat berlatih dahulu bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemilihan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru sebelum itu meninjau proses pengundian PKR Cabang Johor Bahru yang diadakan di dewan serbaguna rumah pangsa Larkin yang melibatkan seramai 2,608 ahli yang layak mengundi.
Ditanya tentang proses pengundian yang sedang dijalankan, beliau memberitahu, proses itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. – UTUSAN ONLINE.











