KUALA LUMPUR 27 Sept. – Kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan gagal mengawal tindak-tanduk beberapa ketua bahagian sehingga menyebabkan parti itu berdepan masalah dan terpaksa dibubarkan di Negeri Sembilan.
Sumber dalaman parti tersebut memberitahu, kebanyakan ketua bahagian itu sebelum ini dilantik kerana mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang pemimpin tertinggi parti berkenaan.
Menurutnya, mereka sebelum ini adalah bekas ahli UMNO yang dikatakan bermasalah dan bertindak meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu.
“Mereka mengamalkan sikap tertutup dalam politik dan tidak membenarkan persaingan. Kalau ada yang dilihat cuba menyaingi mereka akan dicantas awal-awal.
“Selain itu mereka juga menguasai banyak jawatan dan habuan dalam Bersatu dan ia hanya berlegar dalam lingkungan orang yang rapat dengan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, sikap ketua bahagian yang mengamalkan nepotisme dan berpuak-puak mengakibatkan ramai yang tidak berminat dengan parti berkenaan.
“Sebab itu jumlah ahli Bersatu sangat sedikit dan gagal menang semua enam kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.
Sumber berkata, langkah membubarkan Bersatu Negeri Sembilan dipercayai diambil ekoran keengganan mereka bertolak-ansur dan menolak usaha pimpinan parti mengatasi isu yang melanda parti berkenaan.
Sementara itu, satu lagi sumber tidak menolak kemungkinan tindakan pembubaran kepimpinan dan tindakan disiplin ke atas beberapa pemimpin Bersatu ada kaitan dengan pertembungan antara dua pemimpin kanan parti tersebut di peringkat pusat.
Kata sumber itu, tindakan yang dilakukan biarpun dikatakan mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) namun ia tidak mampu menepis spekulasi ada kaitan dengan pemilihan parti hujung tahun ini.
Sumber tersebut juga tidak menolak kemungkinan krisis dalaman Bersatu akan menjadi lebih kronik memandangkan ketika ini persiapan untuk pemilihan sudah mula dirasai.











