MELAKA – Sebanyak 94,786 buah syarikat berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya, sejumlah besar daripada angka tersebut adalah pemindahan secara automatik daripada senarai ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Jumlah ini bagaimanapun akan terus berubah, sama ada berkurangan disebabkan syarikat tidak layak dikenakan SST atau bertambah dengan pendaftaran syarikat baharu yang boleh dibuat secara manual di pejabat JKDM.
“Setakat ini, JKDM tidak berhadapan dengan isu besar dan perlaksanaan sistem SST ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Tamat Latihan Kursus Asas Penguasa Kastam Gred WK41 Dan Penolong Penguasa Kastam Gred WK29 Tahun 2018, di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Bukit Baru, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli meminta orang ramai supaya mengikuti perkembangan semasa dalam mengetahui sebarang perubahan harga barangan yang akan diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Sejak dilaksanakan pada awal September lalu, kami tidak menerima sebarang aduan serius berkaitan SST daripada pengguna.
“Orang ramai perlu mengikuti perkembangan semasa daripada menteri yang akan membuat pengumuman sama ada barangan itu bercukai atau sebaliknya,” katanya. – K! ONLINE










