PUTRAJAYA 12 Sept. – Sebanyak 75 peratus daripada kedai makan dan restoran di bawah sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas nilai ambang SST dinaikkan kepada RM1.5 juta berbanding RM500,000 di bawah GST.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara berkenaan terbukti dengan hanya terdapat 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST berbanding 17,574 restoran yang berdaftar di bawah GST sebelum ini.
“Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘buat-buat tidak tahu’ bahawa cukai perkhidmatan enam peratus memang dikenakan di bawah SST sama seperti GST. Beliau terus merungut terpaksa membayar cukai perkhidmatan enam peratus untuk minuman dan makanan di restoran dan kedai kopi sungguhpun beliau bukan seorang pengilang.
“Datuk Seri Najib tidak harus berpura-pura tidak tahu akan perkara ini kerana beliau menjadi Menteri Kewangan sejak 2008, sebelum pelaksanaan GST pada 1 April 2015, SST enam peratus juga dikenakan sebagai cukai perkhidmatan untuk kedai kopi dan restoran.
“Perbezaannya ialah di bawah pelaksanaan SST, cuma restoran-restoran yang mempunyai pendapatan yang melebihi nilai ambang RM1.5 juta setahun sahaja yang dikenakan SST enam peratus kepada pengguna. Nilai ambang ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding GST,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan terbaharu Guan Eng itu adalah rentetan siri perdebatan antara beliau dengan Najib mengenai perbezaan pelaksanaan antara SST dengan GST.
Mereka saling berbalas sindiran mengenai perkara berkenaan dengan Najib antaranya mempersoalkan mengapa kuih pau di sebuah restoran dikenakan cukai SST sama dengan enam peratus cukai GST sebelum ini berikutan beliau adalah pengguna dan bukannya pengilang.
Selain itu, Guan Eng berkata, pengecualian SST terhadap bahan dan perkhidmatan binaan telah disambut baik oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang yang bersedia menurunkan harga rumah sehingga 10 peratus untuk rumah melebihi RM300,000 serta diskaun enam peratus bagi rumah mampu milik berharga RM300,000.
“Kerajaan Persekutuan amat mengalu-alukan sebarang keputusan daripada pemaju untuk menurunkan harga rumah selari dengan pengecualian SST ini. Saya akan berjumpa dengan REHDA untuk membincangkan sama ada langkah sama di Pulau Pinang boleh diamalkan di seluruh negara,” katanya.
Ujarnya lagi, kerajaan komited untuk memastikan harga barang terkawal dengan pelaksanaan SST yang kini telah ditambah baik.
Beliau berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kempen antipencatutan.









