LONDON 19 Sept. – Lebih lima juta kanak-kanak berisiko mengalami kebuluran di Yemen ekoran peperangan berterusan di negara itu yang mengakibatkan makanan dan harga minyak meningkat.
“Gangguan bekalan di pelabuhan Hodeida boleh menyebabkan risiko kebuluran pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Sebarang jenis penutupan di pelabuhan tersebut akan menyebabkan kehidupan beratus ribu kanak-kanak berada dalam keadaan bahaya selain mengakibatkan berjuta lagi kanak-kanak mengalami kebuluran,” kata pertubuhan Save the Children dalam laporan terbaharu dikeluarkan.
Yemen berdepan situasi kemiskinan selepas terbabit dalam konflik peperangan antara pemberontak Houthi dan tentera yang setia kepada Presiden, Abedrabbo Mansour Hadi sejak 2014.
Tentera pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan dalam konflik terbabit pada 2015 dalam usaha mempertahankan Abedrabbo Mansour selain menuduh Iran menyokong Houthi dan hampir 10,000 telah terkorban sejak itu.
Pertempuran dilihat masih berterusan di pelabuhan Hodeida susulan kegagalan rundingan di Geneva pada awal bulan ini.
“Berjuta kanak-kanak tidak tahu bila atau apakah mereka mendapat makanan selepas ini.
“Di satu hospital yang saya lawati di utara Yemen, bayi kelihatan terlalu lemah untuk menangis, badan mereka lemah kerana kelaparan.
“Perang ini berisiko membunuh seluruh generasi kanak-kanak Yemen yang berdepan pelbagai ancaman, daripada bom kepada kebuluran kepada penyakit seperti taun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Save The Children Antarabangsa, Helle Thorning-Schmidt.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sebarang pertempuran di Hodeida akan mengakibatkan berlakunya sekatan makanan kepada tujuh juta rakyat Yemen. – AFP










