SONG – Seramai 297 penghuni rumah panjang Dagum Nanga Makut, Sungai Katibas di sini berduka selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Song, Asisten Komisioner Balie Jelian berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, 32 pintu rumah panjang tersebut musnah sepenuhnya namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
“Rumah panjang berkenaan diperbuat daripada papan dan kayu musnah sepenuhnya akibat kebakaran itu.
“Bagaimanapun, punca kejadian dan anggaran kerugian masih belum dapat ditaksirkan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menurutnya, rumah panjang itu terletak kira-kira satu jam setengah dari Pekan Song melalui jalan Sungai Katibas menggunakan perahu panjang.
Katanya, semua mangsa kini dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bedil di sini. – K! ONLINE










