SHAH ALAM – Sebanyak 250 unit penapis minyak tiruan kenderaan mewah bernilai RM9,565 berjaya dirampas dalam enam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur di sini semalam.
Serbuan bermula pukul 12 tengahari itu dilakukan di sekitar Puchong, Cheras dan Jalan Ipoh hasil kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan pihaknya mendapati premis-premis tersebut telah menjalankan kegiatan menjual barangan tersebut sejak tiga tahun lalu.
“Hasil serbuan, premis-premis itu menjual penapis minyak tiruan kenderaan mewah seperti BMW dan Mercedes Benz.
“Setiap unit penapis itu dijual pada harga serendah RM8,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya juga telah merakam keterangan enam orang pekerja berusia lingkungan 20 tahun di setiap premis yang diserbu PPDNHEP.
Jelasnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011. – K! ONLINE










