KUALA LUMPUR 18 Sept. – Kira-kira 2,000 penghuni Kondominium Desa Putra, Setiawangsa di sini membantah pembinaan projek kondominium yang terletak kira-kira 10 meter dari kawasan perumahan mereka.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Desa Putra, Abu Bakar Ariffin berkata, penghuni hidup dalam kebimbangan ekoran projek itu bakal menambah kepadatan penduduk dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Difahamkan kondominium setinggi 46 tingkat itu mengandungi 382 unit rumah, lapan podium tempat letak kenderaan dan ia terletak begitu hampir dengan perumahan kami.
“Setakat ini, sebanyak 60 peratus penduduk sudah menandatangani surat bantahan dan telah dihantar kepada DBKL pada 27 Ogos lalu namun tiada sebarang maklum balas yang diperolehi sehingga hari ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini. – UTUSAN ONLINE










