190,000 kampit baja subsidi cuba diseleweng dirampas - Utusan Malaysia

190,000 kampit baja subsidi cuba diseleweng dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 Sept. – Pasukan Polis Marin Langkawi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah berjaya merampas 190,000 beg baja bersubsidi yang dianggar bernilai RM350,000 disyaki cuba diselewengkan di Kampung Simpang Kuar, dekat sini semalam.

Dalam serbuan pada kira-kira pukul 10.30 pagi itu, seramai 10 anggota polis marin dan tujuh penguat kuasa KPDNHEP Kedah bertindak berdasarkan maklumat risikan Marin berkaitan aktiviti penyelewengan memproses baja bersubsidi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan di sebuah premis mendapati terdapat aktiviti penyelewengan baja bersubsidi yang sedang dijalankan dua lelaki warga asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil penahanan dua lelaki tersebut, kita berjaya menyerbu sebuah lagi gudang yang tidak jauh daripada premis pertama yang dimiliki individu sama yang merupakan warga tempatan.

“Susulan itu, kita berjaya merampas 60,000 beg baja di premis pertama dan sebanyak 130,000 beg di lokasi kedua yang dianggar bernilai RM350,000 serta peralatan menimbang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari.

Menurut Rosman, hasil soal siasat mendapati baja bersubsidi tersebut dibeli dari petani tempatan yang sepatutnya digunakan dalam sektor pertanian.

“Bagaimanapun baja tersebut telah diseleweng dan dibungkus semula baja sebelum dijual ke Johor, Pahang dan Selangor.

“Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke pejabat KPDNHEP Kedah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Pasukan Polis Marin Wilayah Satu terus komited membanteras sebarang aktiviti penyeludupan dan ketirisan barangan kawalan di kawasan persisiran pantai.

“Sehubungan itu, orang ramai khasnya komuniti maritim digesa menyalurkan sebarang maklumat kegiatan perlanggaran undang-undang  negara. Sebarang maklumat boleh disalurkan di talian 04-9668678,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini