ALOR SETAR – Seramai 10 penghuni Asrama Akhlak Pokok Sena melarikan diri dari pusat pemulihan itu yang terletak di Gajah Mati, Pokok Sena di sini semalam.
Kesemua remaja lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun tersebut meloloskan diri melalui pintu pagar belakang asrama dengan mengumpil pintu dan memotong pagar antara pukul 5.30 petang hingga 9 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, kehilangan tahanan disedari pembantu pembangunan masyarakat di situ selepas dimaklumkan oleh pengawal keselamatan kira-kira pukul 9 malam semalam.
“Setelah semakan dibuat, seramai 10 tahanan telah hilang yang mana ketika kejadian mereka memakai kemeja-T warna biru dan merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, penghuni asrama yang hilang terdiri daripada sembilan warga tempatan dan seorang warga Thailand.
“Tiga daripada mereka mempunyai rekod dadah dan selebihnya rekod jenayah lain yang mana lapan penghuni telah dijatuhkan hukuman sementara dua lagi dalam proses perbicaraan,” ujarnya.
Tambahnya, sekatan jalan raya telah dilakukan bagi mengesan penghuni terlibat termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9). – K! ONLINE










