ALOR SETAR – Seramai 10 penghuni Asrama Akhlak Pokok Sena yang melarikan diri dari pusat pemulihan yang terletak di Gajah Mati, Pokok Sena di sini direman selama empat hari bermula semalam.
Perintah tahanan reman sehingga Ahad ini itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin Elias.
Terdahulu, semua remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 11.20 pagi semalam dengan menaiki trak polis.
Kosmo! semalam melaporkan seramai 10 penghuni Asrama Akhlak Pokok Sena terdiri daripada sembilan warga tempatan dan seorang warga Thailand berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas mereka bertindak meloloskan diri dari pusat pemulihan itu.
Sembilan daripada mereka ditemui bersembunyi di kawasan semak di Kampung Durian, Pokok Sena kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Sementara seorang lagi penghuni berusia 17 tahun terlebih dahulu menyerah diri di asrama tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











