Zawawi janji selesai isu perumahan rakyat jika dipilih ADUN Sungai Kandis - Utusan Malaysia

Zawawi janji selesai isu perumahan rakyat jika dipilih ADUN Sungai Kandis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Masalah kekurangan rumah mampu milik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang membelenggu penduduk akan menjadi fokus utama calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan esok. 

Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh itu berkata, masalah tersebut sering dibangkitkan penduduk setempat terutamanya golongan muda yang rata-ratanya mengeluh apabila lebih banyak rumah ‘mampu tengok’ dibina syarikat swasta. 

Beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya kerajaan negeri membina lebih banyak rumah Selangorku selain memohon Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperbanyakkan projek PR1MA di kawasan berkenaan.

“Saya juga ingin mencadangkan supaya akses kepada pembiayaan pinjaman yang lebih mudah khususnya untuk generasi muda Sungai Kandis dengan bantuan kerajaan negeri, syarikat pemaju dan pembiaya pinjaman. 

“Saya percaya dengan keazaman yang tinggi kerajaan negeri untuk membela kebajikan rakyatnya, masalah perumahan untuk penduduk di kawasan ini akan dapat diatasi dan saya akan memperjuangkan masalah ini demi anak tempatan,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Mohd. Zawawi berkata, isu tersebut perlu diatasi dengan segera kerana jumlah golongan muda yang memerlukan kediaman semakin ketara apatah lagi apabila mereka perlu bersaing dengan ‘orang luar’ yang mencari rezeki di sektor industri di kawasan tersebut. 

“Setakat ini tiada perancangan bagi membina projek perumahan pada skala besar sedang dirancang kerajaan negeri mungkin kerana DUN Sungai Kandis sebahagian besarnya adalah berstatus kawasan perkampungan. 

“Namun saya melihat ada satu kawasan lapang, tanah kerajaan negeri di Johan Setia yang sesuai untuk membina sekurang-kurangnya 500 unit rumah mampu milik berharga antara RM300,000 hingga RM350,000 khusus buat anak tempatan di kawasan ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN