KUALA LUMPUR 9 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) akan menyebabkan rakyat Selangor membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, kajian telah dibuat mengenai penstrukturan bekalan air bersih itu melalui dua institusi iaitu RHB Investment Bank Bhd. dan firma audit terbesar dunia, Deloitte.
“Pembelian itu bawah harga pasaran, kalau harga pasaran hampir RM3.4 bilion tetapi Splash sanggup untuk bayar RM2.55 bilion, jadi terdapat potongan harga yang besar.
“Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu pergi ke RHB untuk melihat sendiri penilaian tersebut. Kalau beliau ada kajian lain, sila tunjukkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar, Amirudin Shaari telah mengumumkan penawaran pengambilalihan Splash melalui Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dengan jumlah bernilai RM2.55 bilion yang akan dibayar secara tunai.
Abdul Khalid berkata, pembelian Splash itu membuatkan rakyat Selangor perlu membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada 2013.
Beliau menjangkakan keadaan itu memungkinkan kerajaan negeri akan mengkaji atau menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor yang dilaksanakan sejak kerajaan PH mengambil alih kerajaan pada 2008. – UTUSAN ONLINE











