Warga emas oku didera anak saudara - Utusan Malaysia

Warga emas oku didera anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH 8 Ogos – Polis Seberang Perai Tengah (SPT) berjaya menyelamatkan seorang warga emas yang menjadi mangsa dera oleh pasangan suami isteri yang juga anak saudaranya sendiri sejak tiga tahun lalu petang semalam.

Wanita berusia 79 tahun itu yang mengalami masalah penglihatan sering ditinggalkan di belakang rumah tanpa diberi makanan setiap kali pasangan terbabit keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis pagi kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan maklumat, anggota NGO tersebut pergi ke rumah itu di Taman Siakap dekat Seberang Jaya selepas mendapat aduan daripada penduduk dan menemukan wanita itu dalam keadaan basah kuyup di belakang rumah.

“Wanita itu mengadu sering dipukul menggunakan penyapu, kasut dan pinggan mangkuk oleh pasangan terbabit dan tidak diberi makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nik Ros Azhan, pegawai yang membuat siasatan membawa wanita itu ke Hospital Bukit Mertajam dan menahan suami isteri terbabit pagi semalam.

Jelasnya, kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×