PUTRAJAYA – Warga China mencatatkan pemohon paling ramai untuk menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan seramai 11,820 permohonan diluluskan sejak program itu diperkenalkan pada 2002 hingga Jun tahun ini (2018), kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah.
Ini diikuti warga Jepun dengan sebanyak 4,618 permohonan diluluskan, Bangladesh (4,108), United Kingdom (2,608), Republik Korea (2,069), Singapura (1,421), Iran (1,381), Taiwan (1,347), Pakistan (1,017) dan India (1,008) dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata, bandaraya yang menjadi pilihan utama pemohon MM2H yang berjaya ialah Kuala Lumpur diikuti oleh Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Melaka.
“Pemasaran yang agresif, cuaca yang baik, kos hidup yang berpatutan ialah antara faktor bagi jumlah permohonan MM2H yang diluluskan meningkat dengan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata beliau ketika merasmikan Bengkel Kebangsaan Malaysia Rumah Keduaku 2018 di sini hari ini.
Rashidi berkata, Program MM2H mencatatkan sejumlah 40,000 permohonan dari 130 negara yang diluluskan sejak diperkenalkan pada tahun 2002 hingga Jun tahun ini.
Program MM2H membolehkan warga asing yang memenuhi kriteria tertentu untuk tinggal di Malaysia selama mungkin dengan menggunakan pas lawatan sosial berbilang kemasukan.
Pas lawatan sosial pada mulanya ialah untuk tempoh 10 tahun dan boleh diperbaharui. – Bernama











