GAZA CITY 9 Ogos – Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Genting Gaza malam tadi sebagai tindak balas kepada kira-kira 180 roket dan mortar dilancarkan ke wilayah rejim Zionis mengakibatkan tiga penduduk Palestin termasuk seorang bayi terbunuh dalam satu lagi keganasan baharu antara kedua-dua pihak.
Kebanyakan roket dilancarkan pejuang Palestin itu bagaimanapun jatuh di kawasan terbuka dengan dua daripadanya mengenai Bandar Sderot dekat Genting Gaza memaksa siren dibunyikan sepanjang malam dan penduduk bersembunyi di tempat perlindungan.
Pasukan perubatan melaporkan, sekurang-kurangnya empat orang cedera dan dikejarkan ke hospital termasuk seorang wanita Thailand.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, mereka yang terbunuh di Gaza termasuk Enas Khammash, 23, dan anak perempuannya berusia 18 bulan, Bayan.
Kementerian menambah, Enas sedang hamil ketika kejadian itu berlaku manakala suaminya cedera dalam serangan udara di Jafarawi, tengah Gaza.
Seorang pejuang Hamas turut terbunuh dalam serangan itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera.
Ini merupakan keganasan ketiga sejak Julai dan berlaku di tengah-tengah usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir untuk memuktamadkan gencatan senjata jangka panjang antara Israel dan Hamas.
Tiga insiden serangan itu yang menyusul selepas tunjuk perasaan dan pertempuran di sepanjang sempadan Gaza menimbulkan kebimbangan akan tercetus perang keempat antara kedua-dua pihak sejak 2008.
Jurucakap tentera Israel memberitahu, mereka menyasarkan lebih 150 lokasi ketenteraan Hamas dalam serangan itu.
Menurutnya, Israel berdepan sebanyak 180 roket dan mortar yang dilancarkan sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.
“Sebanyak 25 daripada roket itu berjaya dipintas sistem pertahanan udara Israel,” jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan baharu Colombia pimpinan Presiden Ivan Duque menegaskan akan menilai semula keputusan bekas Presiden Juan Manuel Santos mengenai pengiktirafan terhadap kedudukan Palestin.
Sebelum ini, Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara yang berdaulat oleh Perhimpunan Agung PBB (UNGA) selain Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan sekurang-kurangnya 136 buah negara. – AFP/REUTERS










