KUALA LUMPUR 9 Ogos – Pemilihan Ahli Majlis Eksekutif (AMK) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kuala Lumpur kali ke-41 pada 18 Ogos ini bakal menyaksikan jawatan nombor satu persatuan itu dicabar.
Penyandang jawatan tersebut, Kepten (B) Tajudin Yahya berkata, ini kali pertama jawatan tersebut menyaksikan berlaku pertandingan, selepas menang tanpa bertanding bagi pemilihan AMK sesi 2015 hingga 2018 lalu.
“Pada pemilihan yang lalu, saya memenangi jawatan sebagai Yang Dipertua persatuan tersebut tanpa bertanding. Namun, pada pemilihan ahli majlis kali ini, saya menerima seorang pencabar.
“Saya menyambut baik sebarang persaingan dan menganggap itu sebagai satu cabaran bagi saya untuk meneruskan kelangsungan kepimpinan sedia ada,” katanya kepada Utusan Online di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha PVATM Kuala Lumpur, Mohd. Nordin Muhamad Nor dan Ketua Penerangan PVATM Kuala Lumpur, Mohamed Hassim Sharudin.
Tajudin berkata, turut dipertandingkan jawatan Timbalan YDP yang bakal menyaksikan pertembungan antara tiga calon. – UTUSAN ONLINE










