KUALA TERENGGANU 1 Ogos – Aktivis tunggal Malaysia yang menyertai pelayaran ‘Right to A Just Future for Palestine’ ke Gaza, Prof. Madya Dr. Mohd Afandi Salleh menegaskan semangatnya untuk terus memperjuangkan misi kemanusiaan tetap membara walaupun ditahan dan misi itu dilayan bagaikan kedatangan musuh dalam perang oleh rejim Israel.
Beliau yang ditahan tentera Israel di Penjara Givon selama 36 jam bersama para sukarelawan daripada pelbagai negara dan terpaksa menandatangani surat perakuan menceroboh perairan Israel sebelum dibebaskan berkata, misi itu hanya salah satu pendekatan daripada saluran perjuangan.
Mohd. Afandi,47, berkata, ini merupakan misi keempat yang beliau sertai dan kali pertama melalui jalan laut malah terpaksa berhadapan apa yang disifatkannya sebagai ‘lanun Laut Mediterranean’ iaitu tentera Israel walaupun masuk secara aman.
“Penahanan kali ini tidak menyekat saya untuk terus membantu Palestin dan ini bukannya satu sahaja medan untuk tujuan itu kerana banyak lagi cara, dan yang pasti kami semua tidak melakukan kesalahan mengikut undang-undang.
“Cuma dalam penjara itu saya teringatkan ibu saya dan risaukan kesihatannya,” ujar beliau kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini hari ini.
Hampir 100 orang termasuk anggota keluarga, sahabat handai dan kakitangan Universiti Sultan Zainal Aidin (UniSZA) menyambut ketibaannya dari Kuala Lumpur.
Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA itu yang ditahan pada 29 Julai kembali tanah air malam tadi.
Beliau menyatakan kekagumannya dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan sukarelawan daripada pelbagai negara bukan Islam yang turut berjuang membela nasib rakyat Palestin yang terus ditindas.
“Walaupun sudah dikepung oleh banyak kapal tentera Israel sekitar 49 batu nautika menghampiri perairan Gaza, kapten kapal warganegara Norway yang cuma berusia 28 tahun tetap kental untuk meneruskan perjalanan sehingga 40 batu nautika.
Mohd. Afandi berlepas dari Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Julai ke Palermo, Itali untuk menyertai misi terakhir kapal flotila Al-Awda yang membawa 22 aktivis dari 16 negara bersama kargo ubat-ubatan ke Gaza bagi diserahkan kepada penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.
Terdahulu, malam tadi ketika bercakap kepada pemberita di KLIA, beliau memberitahu, kapal berkenaan dikepung 12 bot tentera laut Israel termasuk tiga kapal perang biarpun hanya membawa bekalan ubat, dan semua benda yang dilihat kononnya boleh mengancam keselamatan tentera Israel termasuk garpu sudah dicampak ke laut.
Mohd. Afandi dibebaskan selepas dipaksa menandatangani surat perakuan bahawa dia menceroboh perairan Israel di hadapan peguamnya namun katanya, ini tidak bermakna beliau mengakui kesalahan itu tetapi perlu keluar dan pulang kerana risaukan kesihatan ibu.
Mohd. Afandi berkata, kesemua wang tunai, juga telefon bimbitnya dirampas, dan pihak berkuasa Israel membelikan tiket penerbangan ke Malaysia, justeru ketika transit di Bangkok, beliau meminta pertolongan seorang pelancong rakyat Malaysia untuk menghantar Whatsapp kepada isterinya bahawa dia akan pulang malam tadi. – UTUSAN ONLINE










