PULAU PINANG 10 Ogos – Lebih 50 orang berhimpun di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pagi ini bagi membantah projek Lebuh Raya Pan Island Link (PIL-1).
Ini kali kedua bantahan seumpama itu diadakan sejak sidang DUN ke-14 bermula Isnin lalu.
Disertai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil penduduk yang terjejas, himpunan yang berlangsung secara aman itu turut menarik perhatian orang awam lain untuk turut serta.
Pada himpunan tersebut, penganjur turut mengedarkan risalah berkaitan projek PIL-1 selain mengumpulkan tandatangan orang ramai sebagai petisyen bagi membolehkan projek tersebut dihentikan.
Selain mahu PIL-1 dihentikan, rata-rata mereka berpendapat, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) juga perlu disemak semula demi kebaikan semua pihak.
Pembinaan lebuh raya PIL 1 merupakan sebahagian daripada projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang akan dilaksanakan di bawah fasa satu.
Lebuh raya dua hala sepanjang 20 kilometer itu dirancang dibina dengan enam lorong dan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bayan Lepas dengan enam persimpangan. – UTUSAN ONLINE











