KUCHING 2 Ogos – Mahkamah Majistret di sini hari ini, membenarkan seorang pegawai kanan dan seorang pegawai Biro Tatanegara (BTN) direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Majistret Mohd. Syukri Mokhtar memerintahkan suspek lelaki dan perempuan tersebut masing-masing berusia 37 dan 36 tahun ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek ditahan SPRM disyaki mempunyai kaitan dalam kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000 pada 2016.
Suspek lelaki ditahan pada pukul 7.11 petang manakala wanita itu pada pukul 5.07 petang semalan setelah memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Sarawak.
Semalam, pasangan suami isteri yang merupakan antara pemilik salah sebuah 43 syarikat yang dikesan terlibat dalam kes tuntutan palsu itu direman selama enam hari.
Pada minggu lalu, SPRM menahan reman lima suspek termasuk dua Penolong Pengarah Kanan BTN dan tiga lagi individu lain bagi siasatan kes sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi. – UTUSAN ONLINE










