UMP-KMP perkukuh hubungan melalui pertandingan boling - Utusan Malaysia

UMP-KMP perkukuh hubungan melalui pertandingan boling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 8 Ogos – Seramai 150 pengamal media dan kakitangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai program Boling Bersama Media anjuran UMP dengan kerjasama Kelab Media Pahang di Playground 6 Semambu di sini baru-baru ini.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, program itu dapat merapatkan hubungan baik dengan pengamal media dalam program santai selain beriadah bagi menyokong gaya hidup sihat yang giat dijalankan di UMP.

“UMP begitu menghargai golongan media yang banyak membuat liputan setiap aktiviti yang dijalankan termasuk pencapaian dalam penyelidikan dan kecemerlangan warganya.

“Program ini adalah untuk bertemu dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita dan UMP akan terus mencari ruang me­nganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan pengurusan universiti dengan warga media,” katanya ketika berucap pada program Boling Bersama Media di Playground 6 Semambu di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin; Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid; Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd. Rahman Safie dan Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Hussin.

Pada majlis itu, turut diadakan prapelancaran maskot Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (Sukum) Kali ke-43 yang bakal menyaksikan lebih 2,000 atlet dan pegawai sukan berkampung di UMP bermula 10 hingga 18 Ogos ini.

Kejohanan Sukum kali ini bakal mempertaruhkan lebih 300 pingat dengan 17 acara sukan yang dipertandingkan antaranya bola sepak, bola jaring, tenis, olahraga, basikal, boling dan badminton.

Daing Nasir berkata, masya­rakat awam kini telah mengenali UMP dan beliau berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah bagi daripada pihak media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN