JOHOR BAHRU 1 Ogos – Desakan untuk kerajaan menerima dan mengiktiraf Unified Examinations Certificate (UEC) tidak lebih sekadar lanjutan terhadap usaha mahu beralih keluar secara perlahan-lahan daripada sistem pendidikan sedia ada yang lebih bersepadu dan seragam.
Justeru, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha untuk mengiktiraf sistem dan sukatan peperiksaan UEC yang diimport masuk dari Taiwan adalah tidak wajar dan amat bercanggah dengan aspirasi pendidikan negara.
Ini kerana, menurut beliau, antara lain, kandungan, sukatan serta objektif yang disasarkan dalam kandungan sistem peperiksaan itu bukanlah berasaskan Falsafah Pendidikan Negara yang diguna pakai selama ini.
“Selain itu, ia juga menggunakan sepenuhnya sukatan dan pengisian yang dicedok dari negara luar (Taiwan), tanpa saringan, kawalan dan pemantauan piawai oleh Kementerian Pendidikan.
“Malah, pakar pendidikan dan pihak kerajaan tidak langsung terlibat atau dirujuk dalam penyediaan sukatannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, sistem itu juga akan menyebabkan wujudnya sistem yang terpisah-pisah dan saling berbeza antara satu sama lain, sekali gus sistem pendidikan negara tidak dapat diseragamkan dan disepadukan dengan baik.
Pada masa sama, pengiktirafan itu nanti secara langsung dan jelas memberi mesej moral bahawa sistem pendidikan negara adalah amat teruk, tidak baik dan gagal.
“Saya sangat berharap supaya kerajaan Pakatan Harapan bertegas dalam perkara ini dan berusaha mengambil jalan terbaik bagi memastikan sistem pendidikan kita diiktiraf dan diyakini oleh semua pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










