KUALA LUMPUR 8 Ogos – Malaysia masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Indonesia berhubung kebenaran penghantaran bantuan kepada mangsa gempa bumi di Lombok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kebenaran itu penting bagi membolehkan segala bantuan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan rakyat Malaysia disalurkan ke lokasi kejadian.
“Belum lagi, kita memang tawarkan bantuan tetapi kita memerlukan kebenaran mereka terlebih dahulu sebab jika tiada koordinasi daripada dua pihak, hanya akan merugikan.
“Buat masa ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengucapkan takziah dan menawarkan bantuan kepada Indonesia, itu antara cara-cara untuk kita hendak menolong,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Ketua Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Kejadian gempa pertama di Lombok pada 29 Julai lalu turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30.
Terdahulu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyampaikan sumbangan Skim Keilatan di bawah Perkeso kepada ibu Siti Nur Ismawida, Mazinah Mahmood dan suami mangsa, Mohd. Hafiz Mohd. Kassim, 30.
Skim Keilatan itu melayakkan Mohd. Hafiz sebagai penerima Pencen Penakat berjumlah RM863 sebulan dan bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.










